PARLIMEN MALAYSIA
KUALA LUMPUR


     SIARAN MEDIA  

MALAYSIA TERAJUI AGENDA BELIA SERANTAU SEBAGAI

PENGERUSI AIPA 2025


SHAH ALAM, 1 MEI – Parlimen Malaysia dangan kerjasama Dewan Negeri Selangor akan menganjurkan The 2nd Consultative Meeting of Young Parliamentarians of ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (YPA). Mesyuarat yang bakal berlangsung di Klang, Selangor bermula pada 5 hingga 8 Mei 2025 ini akan melibatkan penyertaan daripada delegasi-delegasi ahli parlimen belia dari seluruh negara ASEAN.

 

Bertemakan “Ensuring ASEAN’s Future: Youth in Action for Sustainability and Inclusivity”, mesyuarat ini mencerminkan usaha ASEAN yang diterajui oleh Parlimen Malaysia di peringkat legislatif untuk membangun rantau yang lebih terangkum, berdaya tahan, adil dan mampan melalui pemberdayaan generasi muda.

 

Mesyuarat ini akan memfokuskan pengukuhan penyertaan belia dalam proses penggubalan dasar berkaitan isu-isu semasa seperti merapatkan kesenjangan ekonomi, transformasi digital dan pembangunan inklusif. Ahli parlimen belia dari negara-negara ASEAN yang dijadualkan untuk menyertai mesyuarat ini akan mengadakan perbincangan untuk mengemukakan cadangan yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung AIPA ke-46. Perkara ini selaras dengan objektif khusus mesyuarat ini yang bertujuan untuk menjadi platform yang ampuh untuk ahli parlimen muda mengadvokasi dasar yang terangkum dan mampan.

 

Mesyuarat ini turut menggariskan kepentingan pendekatan yang strategik dan inklusif terhadap pembangunan belia. Dengan pelaburan dalam kemahiran masa hadapan, sokongan institusi yang kukuh dan pembukaan peluang ekonomi, ASEAN dapat memanfaatkan sepenuhnya tenaga dan inovasi belia untuk kemakmuran bersama.

 

ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) ialah badan antara-parlimen yang menghimpunkan parlimen negara-negara ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau melalui diplomasi perundangan dan pertukaran dasar. Ditubuhkan pada tahun 1977, AIPA berperanan untuk menyokong pelaksanaan matlamat ASEAN dalam pelbagai isu seperti pembangunan mampan, keselamatan, perdagangan dan pemerkasaan belia. Tahun ini, Parlimen Malaysia memegang jawatan sebagai Presiden AIPA 2025, sekali gus memainkan peranan utama dalam menerajui agenda serantau yang inklusif, mampan dan berpaksikan rakyat.

 

Majlis pembukaan pada 6 Mei 2025 akan dirasmikan oleh YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat selaku Presiden AIPA 2025 dan turut disertai oleh YB Tuan Lau Weng San, Yang di-Pertua Dewan Negeri Selangor dan Puan AR. Siti Rozaimeriyanty binti Dato Haji Abdul Rahman, Setiausaha Agung AIPA.

 

 

PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT

PARLIMEN MALAYSIA

TOP