PARLIMEN MALAYSIA
   KUALA LUMPUR


SIARAN MEDIA  

AIPACODD KE-18: WAKIL PARLIMEN ASEAN BERSATU TANGANI ANCAMAN DADAH SERANTAU


KUALA LUMPUR, 6 JUN-- Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat ke-8 AIPA Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 Jun 2025 di Kuantan, Pahang.

 

Mesyuarat kali ini membawa tema Uniting Parliament for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges”, yang menzahirkan komitmen serantau dalam menangani ancaman dadah secara menyeluruh, selari dengan tema utama Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia iaitu keterangkuman dan kemampanan.

 

Mesyuarat itu akan dirasmikan oleh YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Presiden AIPA merangkap Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Sementara itu, YB Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, akan dilantik sebagai Pengerusi Mesyuarat AIPACODD ke-8.

 

Antara agenda utama mesyuarat termasuk:

  • Pembentangan tema dan sesi panel mengenai cabaran dadah semasa oleh wakil ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dan Kementerian Kesihatan Malaysia;
  • Laporan kemajuan negara oleh kesemua parlimen ahli AIPA;
  • Perbincangan mengenai transformasi AIPACODD untuk memperluas bidang kerjasama dalam menangani jenayah rentas sempadan;
  • Penyediaan dan pengesahan draf resolusi serta laporan mesyuarat.

 

Salah satu sorotan istimewa mesyuarat ini adalah Jamuan Diraja yang akan dianjurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan Pahang, pada malam 10 Jun 2025 di Kuantan.

 

 

Jamuan diraja ini merupakan penghormatan tertinggi negara kepada para perwakilan parlimen ASEAN dan keberangkatan Seri Paduka Baginda mencerminkan dukungan institusi diraja terhadap peranan strategik diplomasi antara parlimen dalam menangani ancaman dadah dan membina masa depan rantau yang lebih selamat dan mampan.

 

Pada tahun 2017, AIPACODD telah ditubuhkan secara rasmi bagi memperkukuh peranan parlimen dalam mendepani cabaran dadah menerusi pemantauan dasar, perkongsian maklumat dan kerjasama rentas negara. Melalui platform ini, AIPA terus memainkan peranan sebagai pemacu utama dalam menyelaras usaha kolektif parlimen ASEAN dalam menangani cabaran dadah merentasi dimensi sosial, ekonomi, kesihatan dan keselamatan serantau.

 

 

PARLIMEN MALAYSIA

TOP